Assalāmu álaikum

Ada yang bertanya kenapa masjid ini masih belum disiapkan sedangkan ramai yang mula menyumbang sejak beberapa tahun yang lalu.

Berikut adalah maklumat ringkas latar belakang projek ini.

  1. Cadangan pembinaan telah mendapat kebenaran dan persetujuan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 25 Mac 2015
  2. Manakala Kelulusan Merancang serta Membina daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj ) telah diperolehi pada 21 Disember 2017
  3. Keluasan tapak pembinaan ialah seluas 1.5 hektar / 6126 meter per segi (65,549 kp). Keluasan lantai kasar bangunan masjid ini adalah seluas 2,442.21 meter per segi /26,287.70 kaki per segi.
  4. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 8 Februari 2018 dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
  5. Beberapa sessi penerangan telah dibuat temasuk mengadakan majlis bersama SS Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekututuan pada 28 April 2018.

Kemajuan semasa:

Terdapat kelewatan perlaksanaan kerja-kerja pembangunan ekoran dari masalah terkait dengan keadaan stuktur tanah tapak cadangan masjid ini. Anggaran kedudukan tapak asal masjid terletak dalam kawasan alur saliran semulajadi Sungai Merbau pada ketinggian antara 150 hingga 200 kaki dari paras laut. Melalui siri imej dari tahun 2004 hingga 2017 jelas menunjukkan perubahan tapak kesan dari aktiviti kerja tanah bagi tujuan pembinaan kawasan perumahan Taman Prima Saujana. Tapak dilihat terdapat longgokan bongkah-bongkah batuan sebelum ditutupi dengan lapisan tanih dan diratakan. Imej 2007 dan hingga 2017 jelas menunjukkan tapak terbiar sehinggalah kerja-kerja tanah terkini dilakukan.

  1. Kerja-kerja cerucuk (piling) awalan telah mengalami masalah akibat dari keadaan struktur tanah yang rumit . Kaedah cerucuk konvensional yang telah dirancang, tidak dapat diteruskan.
  2. Beberapa kaedah piling alternatif telah dikenalpasti dengan mengambilkira kesesuaian dengan rekabentuk dan kos pembangunan.
  3. Pada 19 Mac 2019, Jawatankuasa Teknikal Projek Cadangan Pembangunan Masjid ini bersama Juruperunding Pengurusan Projek dan Juruperunding-juruperunding lain yang dilantik untuk projek masjid ini telah bersetuju untuk bahagian cerucuk bangunan mengunakan kaedah micropile diameter 200mm. Jentera dan peralatan untuk cerucuk micropile juga telah memasuki kawasan tapak pembinaan pada hari yang sama.
  4. Kerja-kerja cerucuk (piling) telah dimulakan pada Mac 2019 dan telah siap 100%. Kerja-kerja “pile cap” sudah hampir siap dan akan diikuti dengan kerja-kerja struktur yang lain seperti tiang dan lantai. Kemajuan keseluruhan ialah 24% (Ogos 2019).
  5. Dengan perkembangan terkini, kos anggaran asal pembangunan sebanyak RM 9.08 juta untuk Masjid ini telah mencecah RM11.1 juta.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan dengan jayanya tanpa sebarang halangan. Sumbangan dana dan sokongan dari tuan-tuan dan puan-puan amat diharapkan.

Sekian terima kasih, wassalam.

Hj. MOHAMAD ASRI HARUN
Pengerusi J/k Pembinaan
17 Ogos 2019 / 16 Zulhijjah 1440

WhatsApp chat